Wednesday, October 6, 2010

jom belajar khat bersama ILUVISLAM.COM




Assalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh,

Alhamdulillah, saya terasa terpanggil untuk berkongsi sesi ini di iluvislam, dan sekadar maklumat, ada juga thread ini di lama forum lain, ada beberapa forummers mencadangkan sy untuk membuat kelas maya, dan Alhamdulillah saya cuba juga untuk buat kelas menulis khat di forum, agak sukar juga nak jadikannya kepada bahasa membaca...buat permulaan, saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan mengenai seni khat dan jawi dengan mengadakan kelas maya, insyaAllah saya akan cuba mengajarnya dari awal, iaitu dari segi persediaan hingga belajar menulis huruf tunggal, sambungan huruf, dan seterusnya kepada menulis ayat. Di samping itu juga, saya akan cuba menyelitkan sedikit mengenai jawi, ianya berkait rapat dengan bidang seni khat, jadi penguasaan jawi dan khat perlulah seiring gembira

Dan diharapkan juga pada mereka yang ada info atau apa² sahaja berkaitan khat dan jawi bolehlah update disini, dan juga saya mengalu-alukan bantuan dari saudara Effy Saiful (salah seorang crew dalam team management) untuk membantu saya, kerana dia juga ada kepakaran yang samagembira

Buat permulaan kelas ni, perlulah tahu serba sedikit mengenai jawi. InsyaAllah, setiap tujuan ada objektifnya, dan objektif yang ingin saya capaikan dalam kelas ni adalah:
• Dapat mengenali dan mengenalpasti jenis-jenis khat
• Dapat menulis menggunakan tulisan khat Nasakh
• Dapat memahami dan menguasai tulisan jawi dengan baik
• Dapat memahami dan boleh membaca ejaan dan tulisan jawi dengan baik

"Marilah bersama-sama memartabatkan dan membudayakan seni khat dan jawi dalam kehidupan seharian"

Sebelum memulakan kelas, adalah baik kalau kita dapat tahu serba sedikit mengenai pengenalan dan sejarah seni khat ni, Alhamdulillah dapat juga diringkaskan, banyak lagi point yang penting perlu diketahui, tapi bagi saya ini pun sudah memadai gembira
(sila baca dan fahami dengan teliti)

Pengenalan

Khat ialah perkataan arab yang bermaksud garisan. Oleh itu, seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Khat juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni. Tulisan-tulisan arab pula mempunyai nilai dan kaedah tertentu yang mempunyai estetika yang tinggi.

Picasso, seorang ahli seni terkenal di dunia dari Perancis pernah mengatakan, "Selepas aku melihat seni yang terdapat pada Khat Arab, aku mengakui bahwa dunia seni lukis masih terkebelakang dengan kesenian itu ".

Seni khat bukan sekadar wacana penyampai maklumat tetapi mengandungi nilai abstrak yang disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya.

Sejarah Ringkas Perkembangan Khat

Kajian ilmiah membuktikan bahawa bangsa Arab telah mengenali khat (tulisan) melalui berbagai-bagai sumber yang sampai ke Hijjaz pada abad 6 Masihi. Ianya dibawa masuk oleh ahli-ahli perniagaan Quraisy dan pada waktu itu ia dikenali sebagai tulisan Nabati, Hiri dan Anbari.

Bilangan mereka yang pandai menulis di Hijjaz pada waktu ketika Islam adalah sedikit. Di kalangan suku kaum Quraisy sebelum Islam, terdapat 17 orang sahaja yang pandai menulis antaranya Umar bin Khattab, Ali bin Abu Talib, Uthman bin Affan dan Yazid bin Abu Suffian.

Seni khat pada zaman permulaan Islam

Kedatangan Islam membawa keperluan yang banyak kepada pembangunan tulisan lalu membuka bidang yang luas dalam penulisan dan dakwah secara persuratan. Rasulullah s.a.w. mengizinkan penulisan Al-Quran malah berdakwah dengan menggunakan surat. Rasulullah s.a.w. mengarahkan sahabat-sahabat untuk menulis ayat-ayat al-Quran. Kemudian, penulisan itu terus rancak pada zaman Saidina Abu Bakar r.a. hingga ke zaman Saidina Uthman dengan terhimpunnya Al-Quran Mushaf Uthmani yang ditulis semula sebanyak 6 naskhah dan diedar ke beberapa jajahan Islam.

Seni khat di Alam Melayu

Seni khat mula memasuki Tanah Melayu semenjak abad ke-7 melalui dakwah dan perniagaan yang mula berpusat di Gujerat. Perlak, Sumatera, kemudiannya menjadi pusat penyebaran Islam dan titik berkembangnya seni tulisan Khat di bumi Melayu. Sehingga kurun ke-15, Melaka telah mengambil alih peranan pusat perniagaan dan penyebaran Islam di Tanah Melayu. Islam dan tulisan Khat terus berkembang dan ianya terbukti secara rasminya melalui penemuan batu bersurat Terengganu (1303M).

Seterusnya, seni khat dipelajari di Tanah Melayu melalui pengajian pondok, sekolah-sekolah Arab dan beberapa institusi yang lain. Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim contohnya telah melahirkan ramai guru yang mengajar tulisan jawi suatu masa dahulu. Antara sekolah-sekolah Arab yang telah melahirkan penulis-penulis Khat tanahair ialah Madrasah Al-Attas Johor, Sekolah Sultan Zainal Abidin Terengganu, Madrasah Muhammadiyyah Kelantan, Maktab Mahmud Kedah, Madrasah Al-Ihya Al-Syarif Perak dan lain-lain.

Penulis-penulis Khat tanahair yang tersohor antaranya ialah Syed Abdul Rahman bin Hasan Al-Attas, Haji Wan Salleh Fathi bin Wan Isa serta beberapa penulis muda yang semakin menonjol pada masa kini. Terdapat penulis-penulis tempatan yang telah memasuki pertandingan di peringkat antarabangsa bahkan di kalangan mereka yang kerap menjuarai pertandingan peringkat ASEAN. Adalah lebih baik, bidang penulisan Khat ini disemarakkan kembali di peringkat pembelajaran tanahair samada formal mahupun tidak formal agar ianya tidak pupus dimamah zaman.

Asas-asas penulisan khat
(Sila baca dan fahami dengan teliti)

• Peralatan menulis
Pen khat, kayu resam dan sebagainya. Setiap pena mempunyai kelebihan masing-masing. Bagi mereka yang ingin menceburi bidang ini, digalakkan menggunakan kesemua jenis pena. Pakar-pakar khat biasanya menggunakan pena dari tumbuhan seperti buluh, resam, batang pinang, dan kayu ijuk untuk menulis. Penggunaan pena dari tumbuhan ini memerlukan kemahiran yang tinggi iaitu cara mengasahnya, melicinkan, dan menggunakannya degan baik. Untuk mereka yang baru belajar cara terbaik gunakan pen khat marker, yang mempunyai 3 jenis mata iaitu 1.0 (0.1cm), 2.0 (0.2cm), dan 3.0 (0.3cm) sepertimana yang tertera pada contoh di bawah.




Pena Resam & Buluh

Selain itu, pensel, pemadam, pisau, liquid paper, pen marker, pembaris, set geometri. Sebelum menulis biasanya dilakar dahulu menggunakan pensel, dan yang terbaik gunakan pensel HB (yang kurang pekatnya).

• Kertas
Kertas, buku latihan dan pelapik menulis. Sebaiknya gunakan kertas yang agak tebal, licin dan memudahkan pengeringan dakwat. Kertas yang biasa digunakan ialah Art Paper, Mattart, Tracing Paper atau kertas biasa (seperti A4) 80 GSM ke atas yang licin serta tidak mudah mengembangkan dakwat. Pelapik digunakan bagi menghalang kekasaran pada permukaan meja dan disyorkan pelapik yang digunakan mempunyai grid seperti contoh di bawah







Dakwat, dibeli atau dibuat sendiri. Dakwat yang terbaik ialah yang mempunyai kehitaman yang maksimum, cepat kering ketika di atas kertas, memudahkan pergerakan tangan semasa menulis dan warna yang bersinar (shining) selepas kering. Antara dakwat yang biasa dipakai ialah Holbien, Faber Castell, Calligraphy dan seumpamanya. Dakwat tidak boleh dibiarkan melekat pada mata pena khususnya mata pena besi kerana ianya boleh menghalang aliran dakwat semasa menulis.

Bekas filem biasanya digunakan sebagai bekas dakwat, dan didalamnya dimasukkan span yang dicubit kecil, bertujuan untuk mengehadkan dakwat disedut semasa mencucuh pena ke dalamnya. Ini bagi mengelakkan tulisan di atas kertas rosak dan melimpah dgn dakwat. Kalau sesiapa yang biasa melihat penulis khat yang menggunakan resam atau buluh, acapkali dilihat mencucuh ke dalam bekas dakwat, selalu dicucuh untuk mendapatkan keseragaman dakwat tu apabila ditulis.



Buku Panduan dan latihan. Buku panduan yang terbaik ialah yang dihasilkan di timur tengah oleh penulis-penulis khat terkenal seperti Hashim Muhammad al-Baghdadi, Hamid Hamidi, Syed Ibrahim, dan sebagainya. Setiap buku panduan juga mempunyai pendekatan tersendiri mengikut persekitaran dan budaya penulisan negara masing-masing. Perlu diingatkan, penulisan khat yang terbaik adalah yang mengikut qawaid (undang-undang), ini kerana keseniannya dapat dilihat dengan penggunaan qawaid tulisan yang tepat. Oleh itu, rujukan amat perlu dalam mempelajari seni khat ini, cara yang terbaik adalah dengan berguru.

• Cara memegang pen
- Pen dipegang selari dengan kedudukan kertas 90 darjah.
- Keseluruhan mata pen menyentuh kertas.
- Pen dipegang dengan kadar satu setengah inci dari awal mata pen.

• Suasana semasa menulis
- Suasana mestilah tenang dan kemas.
- Cahaya yang cukup serta tidak melindungi ruang kertas.
- Jarak penglihatan tidak terlalu dekat atau terlalu jauh.
- Perjalanan nafas yang teratur dan tidak penat.

• Psikologi menulis
- Menulis dalam keadaan tenang dan memberi sepenuh tumpuan kepada penulisan.
- Menulis dengan penuh minat bukan sekadar suruhan.

• Latihan
- Menulis bermula dari kaedah yang mudah kepada yang sukar. Contohnya penulisan dengan huruf tunggal diikuti kalimah dan seterusnya ayat.
- Biasakan berlatih menulis menggunakan kaedah yang tepat.
- Setiap tulisan digalakkan diulang sebanyak berkali-kali sebagai latih tubi yang berkesan.

Proses pengajaran dan pembelajaran seni khat merupakan satu aktiviti yang agak sukar dan memerlukan kepada kesabaran dan masa yang panjang di samping azam yang kuat tanpa rasa putus asa. Seseorang yang ingin mempelajarinya perlu diingatkan tentang kepekaan yang tajam semasa mendengar dari pengajar, membaca buku rujukan dan mengambil perhatian yang serius untuk memahami setiap pengajaran terutama dalam espek pengukuhan dan pembetulan.

1 comments:

AzizMostafa said...

Semarak Jawi + Khat:
http://typophile.com/files/Rayhan.pdf
http://typophile.com/node/48495
http://typophile.com/node/74436
----
Melompat Lebih Tinggi + Semoga Berjaya
http://typophile.com/user/12550

Post a Comment

listen to quran

Listen to Quran

Template by:
Free Blog Templates